AKP menang kali ke-3

ISTANBUL, 14 Jun: PAS mengucapkan tahniah kepada AK Parti berikutan kejayaannya memenangi pilihan raya Turki kali ketiga berturut-turut.

Ucapan tahniah itu disampaikan oleh delegasi PAS yang menjadi pemerhati dalam pilihan raya ini dengan menghantar jambangan bunga kepada pejabat Parti AK di Istanbul.

Ia diterima oleh Dr Omar Faruk Kalayci, naib pengerusi AKP Istanbul (gambar atas paling kiri)yang menjaga hal elwal luar AKP.

Bunga dan kad ucapan tahniah itu disampaikan oleh lima delegasi PAS yang diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Taufek Abdul Ghani.

Turut serta ke pejabat AKP Istanbul hari ini adalah Onn Jaafar (Johor), Ustaz Abdul Rahman Yunus dan Ustaz Baihaki Atiqullah (Kelantan). Ketua Pengarang Harakahdaily, Zulkifli Sulong, turut serta dalam rombongan ini.

Kelima-lima mereka tiba di Turki 9 Jun lalu bersama lima lagi anggota rombongan pemerhati dari Malaysia untuk menyaksikan perjalanan pilihan raya Turki yang berlangsung 12 Jun.

Lima lagi delegasi adalah Dr Mariah Mahmud (anggota Parlimen Kota Raja yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS) dan Nasir Mustafa (Adun Kubang Rotan, Kedah) dari PAS.

Turut serta tiga pemimpin PKR Nurul Izzah Anwar (naib presiden PKR), Saifudin Nasution Ismail (Setiausaha Agung PKR) dan Datuk Johari Abdul (ahli MPT PKR).

Kelima-lima mereka berlepas pulang ke Malaysia hari ini. 10 delegasi ini dilayan sebagai tetamu AKP sepanjang berada di negara ini.

Sembilan anggota mengikuti perjalanan pilihan raya di Istanbul manakala Nurul Izzah ke Batman, untuk melihat perjalanan pilihan raya di sana.

Perjalanan pilihan raya di Istanbul lebih aman dan tiada kejadian ganas berlaku namun lain pula di Batman, dimana menteri Turki yang mengiringi Nurul Izzah terpaksa menaiki kereta berperisai untuk melihat kawasan pilihan raya.

Dalam pilihanraya Turki 12 Jun, AKP menang untuk tiga kali berturut-turut dan memecahkan rekod pilihan raya Turki apabila menjadi satu-satunya parti politik yang menang pilihan raya tiga kali berturut-turut dengan meningkatkan peratusan undinya pada setiap kali pilihan raya.
(Gambar: Para penyokong AKP bergembira menyambut kemenangan ketiga parti itu Ahad lepas)

AKP, pecahan dari Parti Refah, dibentuk pada tahun 2001 dan mulai menyertai pilihan raya 16 bulan kemudiannya iaitu pada tahun 2002.

Presiden AKP Rejjab Toyyib Erdogan menjadi Perdana Menteri manakala seorang lagi pemimpin AKP, Abdullah Gul menjadi Presiden Turki.

Dalam pilihan raya pertamanya iaitu pada tahun 2002, AKP hanya menang 34 peratus undi popular dan terpaksa bekerjasama dengan parti lain membentuk kerajaan Turki.

Dalam pilihan raya 2007, AKP menang dengan 47 peratus undi dan berjaya membentuk kerajaan sendiri tanpa perlu bekerjasama dengan lain-lain parti.

Kali ini, AKP menang dengan lebih cemerlang apabila mendapat 49.9 peratus undi dan mendapat 326 kerusi dalam parlimen Turki.

Namun begitu, hasrat AKP untuk menang dua pertiga tidak tercapai lagi dalam pilihan raya ini.

Dalam kempennya, AKP mensasarkan dua pertiga untuk membolehkan mereka membentuk perlembagaan baru dari orang awam untuk Turki. Ini kerana, perlembagaan yang ada adalah dibentuk oleh tentera.

Ekoran itu, walaupun memerintah lebih 10 tahun, kerajaan Turki pimpinan AKP tidak bebas kerana sentiasa sahaja dikongkong oleh tentera.

Menurut sistem pilihan raya di Turki, AKP perlu menang sekurang-kurangnya 330 kerusi parlimen untuk membina perlembagaan baru tetapi satu referandum diperlukan untuk mengesahkannya.

Jika AKP berjaya mendapat lebih dari 367 kerusi, perlembagaan baru boleh dibentuk tanpa perlukan referandum lagi kerana sokongan ahli Parlimen sudah memadai.

"Jalan keluar yang ada sekarang adalah dengan berbincang dengan parti-parti lain dalam Parlimen kalau-kalau mereka boleh menyokong pembentukan perlembagaan baru ini.

"Semasa kempen, CHP juga berkata mahu membentuk perlembagaan baru untuk Turki, jadi kita boleh bincang dengan mereka," kata Omer Faruk yang mendapat PhD tentang Perlembagaan Kesatuan Eropah (EU), kepada Harakahdaily.

Dalam pilihan raya ini, CHP mendapat 25.9 peratus undi popular dan 135 kerusi, MHP mendapat 13 peratus undi dengan 54 kerusi manakala calon-calon bebas mendapat 6.6 peratus dengan 36 kerusi.

Sejak menang pilihan raya 2002 lagi, Turki berusaha untuk memasuki EU dengan harapan Turki akan ditekan supaya amalan demokrasi di Turki lebih terbuka.

Ini kerana, EU mengenakan syarat yang ketat untuk membolehkan sesebuah negara menyertainya. Antara syarat utamanya adalah amalan demokrasi.

Namun begitu sehingga kini hanya rundingan demi rundingan sahaja dibuat dan masih belum mendapat penerimaan penuh dari EU. Antara halangan utamanya adalah agama Islam yang menjadi anutan rakyat Turki disamping AKP yang dikatakan berbau Islam.

Sebahagian dari Turki termasuk dalam benua Eropah iaitu di Istanbul namun sebahagian besar negaranya termasuk dalam benua Asia.

Bagi AKP, dengan cara kempen untuk memasuki EU, pihaknya boleh menekan tentera khasnya, agar membebaskan rakyat Turki dari pelbagai kongkongan.
(Gambar: Erdogan dan isterinya ketika diumumkan menang untuk tiga kali berturut-turut)
Antaranya, sebelum ini wanita Turki tidak boleh memakai tudung kepala semasa di universiti bahkan juga dalam majlis-majlis rasmi padahal hak berpakaian adalah hak individu dalam sistem demokrasi.

Pada permulaan Erdogan menjadi perdana menteri, beliau tidak boleh membawa isterinya, Emin, untuk menyertai majlis-majlis rasmi kerana Emin tidak mahu membuang tudung kepalanya.

Namun, selepas pilihan raya 2007, pindaan perlembagaan berjaya dibuat dan sekatan berpakaian sebegitu tidak lagi membelenggu rakyat Turki.

Di bandaraya Istanbul, ramai wanita-wanitanya memakai tudung kepala bahkan tudung atau skaf Turki adalah antara cenderamata popular yang dibeli bagi mereka yang berkunjung ke negara itu.

Isteri Erdogan juga turut serta meraikan kejayaan AKP ketika keputusan pilihan raya diumumkan semalam dengan keluar bersama suaminya dalam keadaan memakai tudung lengkap sebagai seorang wanita Islam.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
Copyright © nilamsufi