Pemuda PAS konsisten pertahan aqidah


Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
1. Setuju benar saya dengan pendekatan yang diambil oleh PAS Pusat untuk bertemu dengan JAIS dan pihak Gereja sebelum membuat keputusan muktamad dalam menangani isu sensitif seperti ini. Sewajarnya PAS melangkah dengan penuh waspada sebelum mengambil apa jua pendirian setelah dilihat isu ini cuba dimanipulasi oleh pihak tertentu bagi menangguk "political millage" dalam kekeruhan situasi yang dialami.

2. Saya melihat PAS seperti "roundabout" yang sekelilingnya bercapah jalan menuju ke arahnya. Semua pihak sedang memerhati apa langkah PAS berikutnya selepas meletus isu JAIS dan Gereja ini. Lalu timbul pula pelbagai tafsiran, tanggapan dan telahan dibuat kepada PAS. Saya boleh mengenal pasti beberapa kategori untuk saya tegaskan kali ini ekoran tercetusnya isu ini.

Pertama : isu Aqidah Ummat Islam

Kedua : isu JAIS dan tindakannya

Ketiga : isu Gereja dan kedudukannya

Keempat : isu keadaan Ummat Islam secara umumnya.

3. Kami Pemuda PAS bertegas dalam apa jua keadaan, dengan komitmen tenaga, wang ringgit, masa malah darah dan nyawa akan dipersembahkan demi mempertahankan aqidah ummah. Inilah yang telah dilakukan oleh pemuda PAS terdahulu apabila ada dari kalangan mereka terpaksa meringkuk di dalam penjara kerana memperjuangkan aqidah ummah dan menentang sebarang usaha yang cuba untuk merosakkan aqidah, pemikiran dan keperibadian ummat Islam. Insyaallah, ketegasan itu akan diwarisi oleh saya dan seluruh warga pemuda PAS. Pemuda PAS senantiasa diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk menjadi benteng aqidah ummah.

4. Namun kita tidak boleh terburu - buru tanpa usul dalam memutuskan tindakan. Kita perlukan satu bukti kukuh dan meyakinkan untuk mengambil sebarang ketetapan. Saya telah mendengar penjelasan dari Yb. Dato" Dr Hassan Ali selaku AJK PAS Pusat dan juga Exco Kerajaan Negeri Selangor yang mempengerusikan Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam. Saya memahami kedudukannya, menghormati pendiriannya, menerima keikhlasannya dan menyokong tindakannya dalam hal ini, demi melihat aqidah Islam dipertahan dan diperjuangkan.

5. Insyaallah, saya juga akan bertemu dengan pihak JAIS bagi meneliti perkara ini dengan lebih dekat. Biarpun JAIS pernah memburu saya dan cuba untuk menangkap saya seketika dulu atas kesalahan saya membaca kitab di sebuah surau di Damansara, biarpun saya tidak bersetuju dengan tindakan mereka itu, namun saya sekali - kali tidak pernah bermusuh dengan institusi itu. Sebagaimana saya pernah ditahan, dipukul dan diherdik oleh PDRM kerana kesalahan saya mennyampai ceramah atas pentas PAS di Parit Sempadan Johor dan menyertai himpunan - himpunan aman, biarpun saya tidak bersetuju dengan tindakan mereka tetapi saya juga tidak pernah memusuhi institusi itu. Saya sedar peranan institusi - institusi tersebut.

6. Justeru itu, saya perlu adil dalam menilai institusi atau jabatan - jabatan kerajaan. Ada masa tindakan mereka salah maka saya membantahnya dan ada masa tindakan mereka betul maka saya menyokongnya. Insyaallah, dalam menangani isu JAIS dan Gereja ini, saya menyokong penuh tindakan PAS Pusat untuk bertemu dengan JAIS dan pihak Gereja. PAS sebagai sebuah Gerakan Islam tidak memusuhi mana - mana pihak atau agama yang tidak memusuhi Islam malah menghormati hak - hak mereka. Justeru itu kita mengecam pencabulan hak walau berlaku ke atas siapa jua sebagaimana kita jua mengecam sekeras - kerasnya usaha untuk merosakkan aqidah, pemikiran dan akhlak ummat Islam.

7. Saya boleh kesan bagaimana isu ini cuba dieksploit oleh pihak tertentu yang mencari laba politik murahan dan mengalih isu sebenar yang menjadi punca kepada polemik ini. Ringkasnya saya tegaskan pendirian umum saya bersama pemuda - pemuda PAS bahawa :

a] kami konsisten berjuang untuk menegak dan memelihara aqidah Islamiyyah dan dalam masa yang sama, kami menghormati hak non muslim sebagaimana yang telah diajar oleh syariat islam itu sendiri.

b] kami menasihati dan memberi peringatan tegas kepada semua pihak agar aqidah ummat Islam, pemikiran dan akhlak mereka jangan diganggu dan dirosakkan dengan pelbagai dakyah, aktiviti dan gerakan samaada bersifat terbuka dalam aktiviti sosial atau sembunyi di sebalik badan - badan bukan kerajaan.

c ] kami memberi peringatan tegas kepada kerajaan yang memerintah samaada kerajaan pusat dan negeri yang diitadbir oleh UMNO dan BN, juga kepada kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat agar mengambil pendekatan yang berkesan untuk membantu rakyat. Jangan kerana miskin, akhirnya mereka menjadi murtad kerana menagih simpati dan bergantung harap kepada pihak yang mengambil kesempatan untuk merosakkan pegangan agamanya.


8. Polisi PAS dan pemudanya jelas dalam perkara seperti ini. Masyarakat usah gundah, resah dan ragu terhadap PAS. jangan buka ruang kepada media untuk menghakis kepercayaan rakyat terhadap kemampuan PAS memperjuangkan Islam dan isu - isu ummah. Insyaallah, Pemuda PAS akan terus bangkit dengan aktiviti dan gerakkerjanya untuk membentengi aqidah ummah sekaligus memerangi segala anasir yang cuba merosakkan agama Islam dan aqidah ummatnya.

9. Kerajaan yang memerintah mesti mengambil langkah yang lebih tegas untuk memastikan tiada aktiviti mungkar dan maksiat yang menghela ke arah rosaknya keperibadian ummat Islam dan lunturnya nilai keimanan mereka. Jaga kebajikan dan keperluan asas rakyat dengan meletakkan agensi - agensi tertentu seperti Pusat Pungutan Zakat dapat berorientasi dengan lebih berkesan. Bukan hanya memungut zakat tetapi cepat dan cekap mengagihkannya kepada asnaf yang berhak menerimanya. Begitulah Baitul Maal , Pusat Kebajikan Masyarakat dan lain - lain agensi yang berkaitan. Jangan ghairah membeli lampu kristal, carpet tebal dan khat hiasan dinding masjid yang mencecah ratusan ribu dan jutaan ringgit tetapi masih ada ummat Islam yang terpaksa menadah tangan di pintu gereja.

10. Tanggungjawab ini mesti dipikul oleh semua orang Islam dan pemimpinnya justeru ia melibatkan maslahah ummat Islam. Ummat Islam mesti bersatu di bawah payung aqidah ini dan memastikan tiada ruang retak dan bocor sebagai laluan dan peluang musuh Islam menyelinap masuk meruntuhkan struktur kekuatan ummat Islam dari dalam. Justeru harga aqidah ummat Islam tidak boleh dibayar dengan nilai sebuah atau lebih kerusi Parlimen mahu pun DUN, demikian juga tidak boleh ditebus dengan nilai jawatan bertaraf menteri atau wakil rakyat sebaliknya nilai aqidah, taruhannya ialah darah dan nyawa.

Sumber : HarakahDaily

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
Copyright © nilamsufi